![]() |
| Tuan Edmond mantan Pegawai Prasekolah memberikan In house training Beliau melepaskan jawatan untuk menjadi Guru Besar Sekolah Rendah |
Hari keenam saya sebagai Pegawai Pendidikan Unit Prasekolah di PPD Telupid dimulakan dengan perbincangan ringkas tetapi bermakna bersama Tuan Ezlisan. Beliau merupakan antara pegawai penting dalam perancangan program-program pendidikan daerah. Perbincangan kami tertumpu kepada pelaksanaan Karnival Bakat Prasekolah yang dijadualkan berlangsung di Tawau. Sebagai program penting dalam kalendar Unit Prasekolah, persiapan rapi amat diperlukan. Dalam perbincangan tersebut, Tuan Ezlisan turut memaklumkan bahawa beliau akan mengemukakan data peruntukan kewangan terkini yang masih berbaki bagi unit kami. Kami turut menyepakati satu tarikh perjumpaan lanjut, iaitu pada 30 Julai, bagi memperincikan hal-hal berkaitan logistik, perbelanjaan dan penyertaan sekolah.
Selepas menyelesaikan urusan di pejabat, saya memohon kebenaran untuk ke Hospital bagi urusan peribadi – membawa anak saya menerima suntikan vaksin Hepatitis dos kedua. Di hospital, secara kebetulan saya telah bertemu dengan dua individu yang amat saya hormati, iaitu pasangan suami isteri Puan Atianah dan Encik Abel, kedua-duanya bekas Guru Besar yang kini telah bersara. Sambil menunggu nombor giliran, saya sempat berbual panjang dengan En. Abel.
Kembali semula ke pejabat pada tengah hari, saya mengambil peluang untuk membuat pengumuman penting dan pengaturan mesyuarat Unit Prasekolah melalui kumpulan WhatsApp rasmi. Segala maklumat berkaitan mesyuarat mingguan akan datang, termasuk agenda dan jemputan kepada pegawai berkaitan, telah saya susun dan sampaikan secara sistematik.
Pada sebelah petang, saya menerima kunjungan daripada Tuan Edmond yang berbesar hati memberikan sesi ringkas in-house training kepada saya. Walaupun sesi ini tidak panjang, ia amat bermanfaat. Hampir kesemua persoalan penting berkaitan prosedur dalaman telah dijawab dengan jelas dan menyeluruh. Saya turut mempelawa beliau untuk turut serta dalam mesyuarat rasmi yang akan diadakan minggu hadapan, sekiranya kelapangan masa mengizinkan.
Selesai segala urusan, saya memulakan perjalanan ke Kota Kinabalu. Perjalanan ini terhenti dan singgah makan tengah hari di Food Court Ranau. Apabila sampai di bulatan simpang masuk ke Kota Kinabalu. Saya mengikut laluan melalui Tuaran, seperti yang dicadangkan oleh google maps. Jalan tersebut, seingat saya lebih jauh berbanding jalan Menggatal. Saya sempat menikmati pemandangan sekitar Jambatan Gayang serta bulatan arca kuda yang menjadi mercu tanda kawasan tersebut.
Saya tiba di Hotel Dreamtel pada jam 6 petang. Sejurus check-in, saya sempat bertanya tentang polisi pembatalan bilik, memandangkan terdapat perubahan dalam jadual saya. Malangnya, saya dimaklumkan bahawa pembatalan hanya boleh dilakukan tiga hari lebih awal untuk hari biasa dan seminggu sebelum untuk musim puncak. Oleh kerana itu, saya tidak dapat menebus bayaran untuk malam yang tidak akan digunakan. Perubahan ini berlaku setelah saya menerima mesej daripada rakan sekerja, En. Johnson, yang memaklumkan bahawa Bengkel pada hari Khamis telah dibatalkan.
Pada sebelah malam, saya mengambil masa untuk membeli keperluan harian dari kedai berdekatan dan menempah makan malam melalui Foodpanda, menyempurnakan hari yang cukup padat dengan urusan rasmi, peribadi dan logistik perjalanan.
Hari ini memberi saya peluang untuk menyeimbangkan keperluan kerjaya dan keluarga, sambil terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pegawai-pegawai penting di peringkat daerah dan negeri. Semoga hari-hari mendatang lebih produktif dan tersusun.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan