![]() |
| Kerusi baru dibeli untuk keselesaan bekerja |
Pagi ini dimulakan dengan tugasn pentadbiran yang memerlukan tindakan segera. Saya telah menghubungi pihak SMK Telupid untuk menghantar borang lawatan mereka secepat mungkin memandangkan proses kelulusan memerlukan tempoh 30 hari sebelum sampai ke pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Likas. Usaha ini membuahkan hasil apabila pihak sekolah hadir ke pejabat pada jam 2 petang untuk menyerahkan borang tersebut.
Selain itu, saya menerima maklum balas daripada syarikat kenderaan berkenaan urusan tempahan yang tertangguh. Mereka memohon untuk diberikan surat tentatif, sama seperti yang telah disediakan untuk SK Linayukan sebelum ini. Bagi mempercepatkan proses, saya meminta bantuan Cikgu Deelizebath untuk menyediakan surat berkenaan dan menyerahkannya kepada saya.
Di tengah kesibukan urusan rasmi, satu keperluan peribadi untuk keselesaan kerja turut dipenuhi. Kerusi pejabat baharu yang saya pesan melalui Shopee telah tiba dan saya menuntutnya di syarikat penghantaran Flash. Kerusi sedia ada di bilik saya tidak sesuai dengan sifat kerja harian yang lebih kepada pengurusan dokumen dan penyediaan laporan berbanding melayan pelanggan secara berterusan. Kerusi lama bersifat statik dan memaksa posisi duduk tegak, sedangkan saya memerlukan kerusi yang boleh diubah suai dan membolehkan saya bersandar untuk berehat seketika semasa waktu rehat atau selepas tempoh kerja yang panjang.
Petang itu dihabiskan dengan proses pemasangan kerusi baharu tersebut. Walaupun ia kelihatan seperti kerja ringkas, setiap komponen yang dipasang memberi kepuasan tersendiri kerana ia adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan keselesaan dan produktiviti kerja. Saya berhasrat untuk terus menambah baik susun atur dan kemudahan di ruang kerja supaya ia menjadi persekitaran yang kondusif, praktikal, dan menyenangkan untuk tugasan harian.
Keselesaan dalam bekerja bukan sekadar kemewahan, tetapi satu pelaburan kepada produktiviti dan kualiti hasil kerja. Persekitaran yang baik mendorong tumpuan, mengurangkan tekanan, dan meningkatkan kepuasan hati dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Kecil pada pandangan mata, besar pada kesan hasil kerja."

Tiada ulasan:
Catat Ulasan