Sabtu, 2 Ogos 2025

Aktiviti Hari Kelapan Belas – Perjalanan ke Sandakan bagi Urusan Ujian Berkomputer Lesen Memandu

Isteri saya Erica dan Cikgu Frescilla sedang naik
masuk ke bangunan RILEK center untuk mengambil
Ujian berkomputer Lesen Memandu


Pada hari ini, saya berpeluang mengiringi isteri saya, Erica, dan rakan sejawat, Cikgu Frescilla, ke Sandakan bagi tujuan menghadiri ujian berkomputer lesen memandu. Perjalanan kami dimulakan mengikut jadual waktu yang sama seperti saya pergi bekerja ke sekolah. Sebelum menuju ke SK Tangkungon, saya terlebih dahulu singgah di tempat pembuangan sampah di Pekan Telupid bagi melupuskan sampah dari rumah.

Dari SK Tangkungon, kami bertolak tepat jam 7.00 pagi dan tiba di Sandakan pada jam 9.00 pagi. Sebagaimana minggu lalu, kami memilih untuk menikmati sarapan di lokasi yang sama, sebelum bergerak ke destinasi seterusnya pada jam 9.40 pagi. Berbeza dengan urusan sebelum ini di Institut Memandu Sandakan (IMS), kali ini kami terus ke RILEK Center, pusat rasmi ujian komputer bagi cawangan Sandakan. Di sini, pemakaian pelitup muka adalah syarat wajib sebelum memasuki bilik ujian.

Sementara mereka menjalani ujian, saya mengambil kesempatan untuk berehat dan tidur sebentar di dalam kereta. Tidak lama kemudian, mereka keluar dengan keputusan yang menggembirakan – kedua-duanya berjaya menjawab 50 soalan dalam masa kira-kira 15 minit dan lulus dengan cemerlang. Kami sangat bersyukur atas kejayaan ini kerana ia membuka laluan untuk mereka memulakan latihan memandu pada minggu hadapan.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Mydin untuk membeli beberapa keperluan harian. Malangnya, sewaktu berada di sana saya mula bersin dan mengalami simptom resdung. Kami bertolak pulang ke Telupid dan tiba pada jam 2.30 petang. Sebaik tiba di rumah, saya segera mengambil baki ubat sedia ada dan berehat sepenuhnya bagi memulihkan kesihatan.

Hari ini bukan sahaja membawa kegembiraan kerana kejayaan mereka berdua, malah menjadi satu catatan penting dalam menyokong perkembangan peribadi rakan dan ahli keluarga yang terlibat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penamatan Blog disebabkan mahu mengurangkan kerja

Saya pasang azam baru untuk post di sosial media. Penamatan blog ini akan membantu saya fokus kepada sosial media saya selain daripada mengu...