Selasa, 19 Ogos 2025

Aktiviti Hari Ketiga Puluh Lima: Cabaran di Hari Pendaftaran

Pendaftaran Karnival Prasekolah di
SK Tanjung Batu Keramat, Tawau


Hari ini bukanlah hari pertandingan, sebaliknya hanya proses pendaftaran peserta. Saya mengambil sedikit masa untuk menyusun dokumen serta borang berdasarkan panduan video yang telah dikongsikan dalam group telegram. Pendaftaran bermula pada jam 9 pagi dan berakhir sekitar jam 1 tengah hari, diikuti dengan taklimat.

Pada awal pagi, saya tidak terlalu risau tentang perjalanan, malah sempat terfikir untuk bergerak sedikit lewat supaya hanya perlu menunggu sekejap sebelum bermulanya taklimat. Namun, sangkaan saya meleset sama sekali. Isyarat “red flag” sudah kelihatan sejak dari mula apabila saya dapati ada kertas bayaran parking pada windshield kereta. Arahan pada kertas tersebut agak mengelirukan, namun saya letakkan perkara itu di tepi kerana mahu fokus kepada urusan pendaftaran.

Apabila tiba di lokasi, keadaan trafik agak sesak sehingga saya terpaksa meletakkan kereta di luar kawasan sekolah. Semasa proses pendaftaran berlangsung, timbul masalah bagi SK Linayukan apabila nama salah seorang murid tidak tersenarai dalam sistem SMPK. Kes ini berpunca daripada penukaran nama yang menyebabkan butiran dalam sistem tidak sama dengan surat beranak dan MyKid. Untuk memastikan murid tersebut layak bertanding, saya perlu membuat perubahan secara manual di laman web prasekolah.

Masalah tidak berhenti di situ. Selepas borang R01 selesai, bermulalah satu lagi cabaran apabila semakan dokumen menunjukkan banyak kesalahan. Borang R02 pula tidak diterima sekiranya hanya ditaip separuh atau dibuat pembetulan menggunakan pen. Beberapa borang turut ditolak kerana tiada cop rasmi PPD. Atas arahan Puan Julaidah, saya terpaksa bergegas keluar ke kedai untuk membuat cop, menaip semula dan mencetak borang R02, serta membeli keperluan alat tulis. Spartan Stationary menjadi tempat saya menyelesaikan semua perkara tersebut.

Pada mulanya, saya sangka hanya PPD saya sahaja yang berdepan masalah sebegini. Rupanya ada juga beberapa PPD lain mengalami isu yang sama. Pengurusan kali ini memang agak ketat — termasuklah tidak membenarkan pembetulan ejaan hanya dengan menggunakan inisial atau tandatangan. Walaupun begitu, saya lega kerana ada pegawai pendaftaran yang sangat membantu sepanjang proses berlangsung. Selepas segalanya selesai, saya masuk ke dewan bersama pegawai PPD Ranau yang menumpang kenderaan saya.

Syukur, urusan pendaftaran akhirnya selesai dengan baik. Sesudah itu, saya pulang ke hotel. Saya sempat menyelesaikan bayaran parking secara online sebelum meletakkan semula kertas bayaran pada windshield, dengan harapan tiada lagi masalah berkaitan. Malam itu saya tidak keluar dari bilik hotel. Saya hanya memesan makanan melalui aplikasi Food Panda dan berehat sepenuhnya. Hari ini benar-benar meletihkan.

“Cabaran datang tanpa diduga, tetapi ketabahan menjadikan setiap urusan selesai juga akhirnya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penamatan Blog disebabkan mahu mengurangkan kerja

Saya pasang azam baru untuk post di sosial media. Penamatan blog ini akan membantu saya fokus kepada sosial media saya selain daripada mengu...